Sambung segera projek kerajaan BN di Johor – Najib

0
1

KERAJAAN digesa supaya menyambung kembali projek-projek yang dirancang dan dilaksanakan di negeri Johor sebelum ini oleh Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata rata-rata rakyat yang ditemuinya di negeri berkenaan mahukan projek-projek terbabit demi pembangunan dan keselesaan.

“Saya ingin membangkitkan perkara tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan pelebaran Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Johor Bahru iaitu pertambahan dari dua lorong kepada empat lorong.

“Projek Stesen Sistem Transit Rapid (RTS) di Bukit Chagar, Johor Bahru, projek Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), projek perumahan generasi kedua FELDA dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Projek-projek ini amat penting terutama dalam konteks pembangunan negeri Johor serta keselesaan warga Johor,” katanya ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah diraja Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, berharap semua projek-projek berkenaan dilaksanakan dengan segera.

“Saya amat berharap projek yang telah ditangguhkan atau dilewatkan oleh kerajaan sebelum ini, kerajaan sekarang akan menyambung projek ini dengan segera.

“Kerana inilah yang dikehendaki oleh rakyat Johor dimana rata-rata saya pergi mereka minta projek-projek ini dilaksanakan secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here