KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara pembangkang dengan kerajaan bukanlah bermaksud memberi laluan mudah bagi Perdana Menteri mengekalkan kuasa.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, MoU itu bermaksud untuk mematangkan suasana politik dan persefahaman yang dijalin dapat mencapai pelbagai matlamat demi rakyat dan negara.
“Saya ingin menjejaskan tentang MoU ini yang dilihat masih digunakan pihak tertentu termasuk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seolah-olah kita memberi laluan mudah kepada kerajaan.
“Tanpa MoU ini saya tidak fikir Undi 18 akan diluluskan. Ramai boleh mengatakan mereka berjasa dalam perkara ini, dan saya tidak nafikan. Tetapi kepastian dalam MoU inilah yang menetapkan tanpa tolak ansur mesti diluluskan sebelum akhir tahun lalu.
“Begitu juga pakej rangsangan bagi menangani masalah ekonomi dan Covid-19. Semua itu diluluskan kerana ada rundingan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah diraja Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, politik negara harus matang dan tidak boleh mewarisi sistem yang lama, di mana bila orang tidak bersetuju tempatnya di penjara dan jika bersetuju diangkat dan diberi anugerah tambahan.
“Jadi sikap dendam kesumat, nafsu serakah politik ini harus dihentikan. MoU ini bermaksud untuk mematangkan suasana politik.
“Tetapi soal lawan…bantah kita teruskan dan tidak langsung ada tolak ansur dalam soal pengurusan kerajaan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan kita tanya terus kepada Perdana Menteri bukan berselindung.
“Jadi saya ingin tegaskan perkara ini supaya kita faham maksud memorandum ini. Tidak untuk memberi laluan mudah bagi Perdana Menteri mengekalkan kuasa,” katanya.
Menurutnya, memorandum itu bukan perjanjian untuk memberikan isyarat nyata bahawa Perdana Menteri akan kekal tanpa dicabar kerana didalamnya tiada peruntukan yang melarang, bantahan atau penolakan kedudukan Perdana Menteri.
“Kita tahu Pakatan Harapan (PH) bukan pemerintah, tetapi kita juga tahu bahawa dalam keterbatasan yang ada..ada kemajuan yang tidak boleh dinafikan tetapi ia tidak memenuhi maksud kita.
“Tentang kebebasan badan kehakiman, badan penguatkuasaan, kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu yang tertera dalam matlamat kita yang belum tertunai. Tetapi kemajuan sebahagian besarnya telah dapat dirungkai.
“Ini saya jelaskan supaya suara-suara yang agak terdesak di luar sana dapat mengerti, supaya tiada tohmahan yang keterlaluan. Tiada salah untuk orang menegur, tetapi jika mengatakan beri laluan mudah Perdana Menteri kekal kuasa..saya fikir ini tidak benar,” katanya. – Malaysiapost

