PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan manifesto Barisan Nasional (BN) tidak menjanjikan bulan dan bintang sepertimana manifesto Pakatan Harapan (PH) yang terbukti gagal ditunaikan.
Beliau berkata, manifesto yang disebut sebagai Ikhtiar BN Johor merupakan manifesto yang realistik, berwibawa dan bertanggungjawab.
“Ia tidak menjanjikan bulan dan bintang sepertimana manifesto PH yang terbukti gagal ditunaikan.
“Ikhtiar BN Johor ialah manifesto yang menyeluruh untuk membina masa depan dan kestabilan negeri Johor
“Ikhtiar ini menunjukkan BN mempunyai visi dan misi yang lebih jelas untuk memajukan negeri Johor,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, lesen bank digital dan penubuhan IJEC misalnya menunjukkan masa depan Johor akan lebih cerah di bawah BN.
Katanya, Ikhtiar ini menyerlahkan kepimpinan BN yang prihatin terhadap pembinaan sosio ekonomi, sosio budaya dan sosio politik yang matang dan berprestasi.
“Ternyata inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat dan bangsa Johor untuk bergerak hadapan
“Ikhtiar BN Johor bersifat inklusif turut melibatkan penyertaan orang muda, reformasi ekonomi, sosial dan politik sebenar. Ayuh bangsa Johor, bangkitlah bersama BN Johor,” katanya.
Semalam, BN melancarkan Ikhtiar BN Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertemakan ‘Kestabilan Masa Depan’, yang menggariskan lima teras utama.
Teras terbabit ialah kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk Orang Muda Johor (OMJ), ikhtiar untuk membudayakan pentadbiran berintegriti dan ikhtiar untuk melaksanakan reformasi politik.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, Ikhtiar BN Johor adalah untuk semua bangsa Johor bagi menjadikan Johor negeri makmur didukung oleh naratif politik baharu yang matang lagi stabil. – Malaysiapost

