PH umum calon MB jika dapat mandat

0
1

MAJLIS Presiden Harapan (PH) akan mengumumkan calon Menteri Besar, sekiranya gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata calon itu belum dibincangkan lagi antara pucuk pimpinan dalam PH.

“Saya pun tidak mahu komen lebih kerana saya sendiri bertanding tetapi saya rasa Majlis Presiden PH akan bincang dalam masa terdekat ini.

“Biarlah perkara itu diselesaikan oleh Majlis PH. Namun sehingga kini belum ada (perbincangan),” katanya memetik laporan Berita Harian.

Pada masa sama, Salahuddin yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berkata, pihaknya tidak akan menggunakan serangan peribadi atau mengaibkan mana-mana calon lawan sebagai bahan utama kempen sepanjang PRN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai sebaliknya mahu mengetengahkan kematangan berpolitik dengan membawa isu bersifat lebih kritikal seperti aspek ekonomi dan pembukaan pintu sempadan.

“Kita juga akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen kerana kita tidak mahu PRN ini menjadi penyumbang terhadap peningkatan kes,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, beliau percaya akan ada desakan pembubaran Parlimen bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas selesainya PRN Johor ini.

Katanya, PRU15 tidak sepatutnya diadakan lebih awal susulan situasi semasa negara yang diancam peningkatan kes Covid-19 dan bencana banjir, sebaliknya ia perlu diadakan selepas cukup tempoh penggal.

“Bagi PRN Johor sahaja, perbelanjaannya sebanyak RM150 juta dan ia adalah satu pembaziran. Sepatutnya ia tidak perlu diadakan sehingga memaksa rakyat terheret dalam situasi ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here