KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kini semakin ramai Ahli Parlimen bersama rakyat menuntut desakan pengeluaran kali terakhir RM10,000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana mereka mulai sedar bahawa kehidupan rakyat kini semakin terdesak dan amat memerlukan pengeluaran terbabit untuk kelangsungan hidup.
Asyraf Wajdi juga menyindir Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang dulunya menyifatkan tuntutan itu sesuatu yang sukar umpama ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’, namun kini bertindak sebaliknya.
“Alhamdulillah, jika dahulu desakan terhadap pengeluaran KWSP diibaratkan seperti ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’, kini YB (Fadhli) sudah menerima hakikat tuntutan rakyat yang benar-benar susah dan amat memerlukan.
“Ramai Ahli-Ahli Parlimen kini sudah bersama suara rakyat. Moga tuntutan dan harapan rakyat untuk pengeluaran buat kali terakhir RM10,000 KWSP segera diluluskan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam hantaran berasingan, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan khidmat kontraktor untuk menaikkan bendera bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Dengan 1,734 cawangan BN seluruh negeri Johor, Pemuda BN tak perlu bayar kontraktor swasta untuk kerja-kerja menaikkan bendera, bunting dan papan-papan kempen.
“Ini kerana jentera Pemuda semuanya bersemangat dan secara sukarela bekerja untuk memastikan kemenangan calon-calon BN di PRN Johor,” katanya.
Terdahulu, Asyraf Wajdi menyantuni jentera-jentera sukarelawan Pemuda BN di kalangan anak-anak muda Umno, MCA dan MIC berusia 18 hingga 30 tahun Dewan Udangan Negeri (DUN) Yong Peng.
“Tahniah sahabat saya Joni Juna yang juga Ketua Pemuda BN Ayer Hitam yang menggerakkan hampir 750 jentera Pemuda ke seluruh DUN Semarang dan Dun Yong Peng dua malam berturut-turut untuk Operasi angkat bendera,” katanya. – Malaysiapost

