TEMPOH pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Sinovac tidak akan dilanjutkan lagi dan akan berakhir seperti ditetapkan sehingga 31 Mac ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata jika kumpulan berkenaan masih enggan mendapatkan vaksin itu selepas tarikh berkenaan, status vaksinasi mereka bertukar kepada tidak lengkap.
Beliau berkata, kaedah pemberian dos penggalak sudah diperluaskan melalui ‘walk-in’ di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kita juga memberi pilihan jenis vaksin dos penggalak sama ada Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac kerana terdapat keengganan penerima vaksin untuk mendapat vaksin bercampuran.
“Tempoh yang kita beri bukan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi lebih kepada memberi masa untuk mereka melengkapkan dalam tempoh lanjutan.
“Lanjutan masa ini adalah yang terakhir dan muktamad. Pada akhir bulan ini sekiranya mereka tidak dapat dos penggalak, maka status mereka adalah tidak lengkap,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Khairy menjawab soalan asal Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu), mengenai keseriusan varian Omicron berbanding dengan varian lain serta juga jumlah kematian yang berlaku mengikut varian.
Menjawab soalan itu, Khairy berkata berbanding varian Delta, Omicron lebih suka menjangkiti dan membiak pada bahagian atas saluran pernafasan dan ia memberikan nilai tambah kepada keupayaannya untuk menjangkiti secara mudah serta pantas.
“Di samping, Omicron juga didapati kurang berkapasiti untuk menjangkiti tisu paru-paru. Ini mungkin menjelaskan mengapa individu yang dijangkiti oleh varian berkenaan mempunyai jangkitan lebih ringan berbanding dengan varian Delta,” katanya.
Menurutnya, biarpun terdapat trend peningkatan dalam kemasukan ke hospital ketika gelombang Omicron, kadar discaj dari hospital juga naik mendadak memandangkan kadar sembuh yang tinggi dan tempoh rawatan yang tidak berpanjangan.
Beliau turut memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF 2.0) bermula 7 Februari lalu dalam menghadapi cabaran gelombang Omicron. – Malaysiapost

