Fitri Nizam
Semua pihak mesti berwaspada pada zaman mutakhir yang canggih ini, kerana wujud golongan syaitan menggunakan media, tentera upahan dan sukarelawan untuk menyebar maklumat dan tulisan menarik tapi menyesatkan, kata Presiden PAS.
Dalam penulisan Minda Presiden yang dimuatnaik di Facebook itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada orang ramai bahawa ini adalah zaman yang mengelirukan.
“Antara perkara paling besar dalam Islam ialah urusan politik yang diberikan peranan kepada manusia menguruskannya mengikut ketetapan Allah.
“Politik merupakan sebahagian daripada ilmu feqah Islam yang sangat penting.
“Malangnya, ramai dalam kalangan umat Islam terpengaruh dengan ajaran bukan Islam yang memisahkan politik daripada urusan agama, sehingga mengakibatkan munculnya orang jahil terhadap agama.
“Lalu mereka itu bercakap dan menulis perkara melibatkan urusan politik menggunakan akal semata-mata tanpa merujuk ilmu Islam yang menjadi sebahagian daripada mukjizat al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW,” tulisnya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Islam pada akhirnya menjadi sebuah agama indah yang dirosakkan apatah lagi pada zaman wujud kebebasan media.
“Terdapat musuh Islam yang sanggup berbelanja besar menggunakannya (media) sebagai alat bertujuan menyebarkan kekeliruan dan kesesatan, termasuk untuk meragukan orang ramai terhadap Islam dan perjuangannya yang sebenar.
“Ramai penganut Islam yang hanya berfikir untuk mencari makan dan menjadi khadam mereka, semata-mata untuk mendapatkan imbuhan. Pada masa sama, tidak menyedari bahawa pemikiran yang disebarkan itu sebenarnya menempah dosa berpanjangan sehingga meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, umat Islam disuruh memohon petunjuk ke jalan benar dengan mengikuti ajaran nabi, orang-orang yang siddiq (benar kepercayaan dan amal), para syuhada’ (pejuang yang terbukti sehingga akhir hayat tidak menyeleweng dalam mengharungi perjalanan hidup) dan orang-orang soleh.
“Begitu juga kita tidak ingin mengikuti jalan orang yang dimurkai Allah SWT. Mereka itu daripada kalangan orang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya, bahkan menyesatkan orang lain,” katanya.
Abdul Hadi berkata, terdapat dua sifat yang ada pada golongan berkenaan iaitu secara terbuka mendedahkan diri bahkan menentang Islam tanpa selindung seperti mempersendakan hukum yang mereka fikirkan bodoh dan tidak bertamadun.
“Kedua, ada juga antara mereka berpura-pura menyokong Islam secara provokasi, supaya dilaksanakan syariat Islam tanpa ada sifat bertafaqquh (mendalami ilmu agama), sedangkan mereka jugalah menjadi penghalang dan bersekongkol dengan musuh Islam kerana mahukan kemenangan dunia yang segera tanpa mempedulikan wawasan akhirat,” katanya.

