Pendedahan baharu kes 1MDB: Guan Eng gesa SPRM siasat Najib

0
2

[Parlimen] PEMIMPIN DAP mahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipanggil dan disiasat semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan terbaru bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Najib selaku watak penting dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seharusnya tidak terlepas daripada siasatan selepas pendedahan terbaru itu kerana rakyat ingin mengetahui kebenarannya.

“Itu satu pendedahan baru, kita nak tahu adakah SPRM akan panggil dan siasat yang berhormat Pekan (Najib).

“Jangan hanya siasat yang lain-lain, watak utama harus disiasat juga.

“Saya minta SPRM, minta kerajaan jawab perkara ini. Apakah petugas khas 1MDB telah dibubarkan atau sudah dikurahgkan, ini harus diberi jawapan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong, di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan melaporkan Leissner memberi keterangan bahawa beliau dan rakan sekerjanya ketika itu Roger Ng tidak menerima sogokan daripada bon ketiga yang mereka kumpulkan untuk 1MDB, bernilai AS$3 bilion, walaupun telah meraih berjuta-juta sogokan daripada dua bon yang diperoleh sebelum ini.

Leissner berkata, Low Taek Jho, dikenali sebagai Jho Low, telah memaklumkan kepadanya bahawa wang daripada bon ketiga – dirujuk sebagai Project Catalyze – akan digunakan untuk pilihan raya umum ketika itu pada 2013.

Beliau mendedahkan perkara tersebut semasa memberi keterangan sebagai saksi utama dalam perbicaraan terhadap Ng pada 24 Februari lalu, di New York. Ng telah didakwa melanggar undang-undang antirasuah AS dan pengubahan wang haram.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berpendapat tidak sepatutnya denda yang tinggi dikenakan terhadap rakyat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Katanya, ia kerana menteri yang menjaga SOP Covid-19 sendiri telah melanggar SOP ditetapkan.

Ia merujuk kepada denda yang dikenakan terhadap Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru kerana melanggar SOP ketika menghadiri satu program politik di Johor.

“Jangan salahkan rakyat tak patuh SOP jika menteri yang jaga SOP tak patuh SOP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here