Kerajaan fokus beri wajah baru penjawat, organisasi awam – PM

0
2

KERAJAAN komited untuk menambahbaik sistem penyampaian dari semasa ke semasa termasuk memberikan fokus dalam memberi wajah baru kepada penjawat awam dan juga landskap baru organisasi awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan menyedari masih berlaku kelemahan dalam sistem penyampaian, oleh itu penambahbaikan akan dilaksanakan secara berterusan.

“Bagi mengatasi kelemahan yang timbul, pertama sekali kerajaan akan memberikan fokus dalam memberi wajah baru kepada penjawat awam dan juga landskap baru organisasi awam

“Pembaharuan ini bertujuan untuk menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih bersifat ‘people centric’ dan memudah cara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan karenah birokrasi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mengenai kenapa masih berlakunya kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian kerajaan dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasinya.

Ismail Sabri berkata, sebagai contoh antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan karenah birokrasi.

Menurutnya, semestinya langkah yang diambil kerajaan dipacu oleh perkhidmatan awam yang cekap dan juga organisasi yang dinamik serta bersifat fasilitatif.

“Dalam hubungan ini saya akan memastikan semua organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindihan fungsi.

“Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan rekayasa proses ‘reengineering’ bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang

“Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga menggariskan agar sistem perkhidmatan awam didorong oleh inisiatif baharu melalui pendekatan seperti penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Tajuddin mengenai sistem bekerja dari rumah (BDR) oleh sektor awam, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, memaklumkan ia masih dilaksanakan.

“Kita dapati dari segi produktiviti bekerja dari pejabat lebih baik dari BDR, tetapi ada beberapa jenis kerja yang boleh dibuat daripada rumah sebagai contoh penyelidikan dan sebagainya.

“Tetapi jabatan-jabatan kritikal yang membabitkan sektor perkhidmatan mesti dilakukan daripada pejabat dan kesimpulannya BDR masih dilaksanakan tetapi dalam kes-kes tertentu serta peratusannya ketika ini hanya 20 peratus,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan menyelesaikan aduan tentang sistem talian kerajaan yang sukar untuk dicapai dan panggilan tidak dijawab yang dibangkitkan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here