Martabat Bahasa Melayu: Perdana Menteri wajar jadi contoh pemimpin lain

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi contoh terbaik kepada semua kepimpinan pelbagai peringkat kerana mengutamakan Bahasa Melayu ketika sidang media bersama pemimpin negara luar termasuk Brunei, Kemboja dan terbaharu Thailand.

Sebelas Ketua Umno Bahagian dalam kenyataan bersama, berkata tindakan Ismail Sabri itu sekali gus memperkasakan Bahasa Melayu dan memartabatkan bahasa ibunda ke persada yang lebih luas terutamanya rantau ASEAN.

Mereka berkata, pemimpin lain tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan ucaptama dalam sesuatu program bertaraf antarabangsa.

“Sejajar Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

“Kami yakin, kita tidak akan terkebelakang sekiranya kita menggunakan bahasa kebangsaan apabila berada di pentas antarabangsa.

“Malahan akan lebih berbangga sebagaimana dengan negara lain yang sentiasa menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sesuatu program yang melibatkan dunia luar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Malaysia harus berperanan menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca kepada kelompok ASEAN yang terdiri daripada 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar dan Thailand.

“Sejarah ‘The Malay Archeopilago’ membuktikan bahasa Melayu merupakan bahasa yang dipertuturkan dalam ratusan tahun yang lalu di kepulauan Melayu ini dengan menggunakan resam tulisan jawi dalam aktiviti bahasa, budaya, agama, pendidikan, pentadbiran dan aktiviti ekonomi.

“Melihat perkembangan yang diteladani Perdana Menteri, pentas antarabangsa adalah platform terbaik untuk kita memaparkan bahasa yang kita gunakan dalam negara kita, kini sudah tiba masanya untuk kita menggunakan bahasa kita di pentas antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, mereka menggesa semua peringkat sama ada kerajaan atau swasta untuk menyambut hal yang sama dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi di dalam negara.

Kenyataan ini bersama itu dikeluarkan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar; Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail; Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Selain itu, Ketua Umno Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad; Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman dan Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lassim.

Kenyataan itu turut dikeluarkan, Ketua Umno Bahagian Kuala Langat, Datuk Zurihan Yusop; Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah dan , Ketua Umno Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here