Aiman Hanif
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya meminta supaya tiada campur tangan politik dalam pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah kerana yakin tidak bersalah.
Menurut orang kuat Ahmad Zahid, Datuk Sheikh Ruzi, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak pernah meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan kes mahkamah dihadapinya seperti mana dakwaan bekas Perdana Menteri kelapan itu.
“Zahid pergi jumpa Muhyiddin minta tolong supaya tidak ada campur tangan politik, itu yang penting yang Zahid hendak, itu saja.
“Tiada permintaan untuk membebaskannya. Kerana Zahid cukup yakin dia tidak bersalah dengan pertuduhan dihadapinya.
“Sebab tidak ada orang cakap, saya bagi duit dekat Zahid, semuanya buat amal jariah,” katanya kepada Malaysiapost.
Sheikh Ruzi berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad bahawa Ahmad Zahid bertemu Muhyiddin meminta pertolongan berhubung kes dihadapinya.
Dalam wawancara disiarkan Nadi Rakyat Channel TV (NR), Md Alwi meluahkan rasa kecewa terhadap Muhyiddin kerana mendedahkan permohonan Ahmad Zahid meminta pertolongannya berhubung pertuduhan di mahkamah.
Jelasnya, adalah perkara biasa bagi “seorang kawan” meminta pertolongan dengan kawan yang juga seorang Perdana Menteri.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya didedahkan Muhyiddin kepada orang ramai.
Untuk rekod, Sheikh Ruzi adalah individu yang turut dikaitkan dalam perbicaraan dihadapi Ahmad Zahid di mahkamah ketika ini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menafikan yang beliau bertemu Muhyiddin bagi meminta bekas Perdana Menteri itu menggugurkan kes yang dihadapinya.
Bahkan Ahmad Zahid mencabar Muhyiddin untuk bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran dakwaannya, namun Muhyiddin enggan berbuat demikian. – Malaysiapost

