Napsiah mahu lakar sejarah di DUN Kempas

0
1

Najamuddin Mohd Nor

KETUA Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan berhasrat mencipta sejarah untuk menjadi wakil rakyat wanita yang pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.

Beliau berkata, apa salahnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ke-15 ini rakyat di Kempas memberi peluang kepada wanita untuk mewakili suara sekali gus membela nasib mereka.

“Kita tahu lambang PKR pernah menang di Kempas pada pilihan raya umum yang lalu menerusi ahli Bersatu.

“Kali ini PKR bertanding lagi di Kempas menggunakan lambang PKR sendiri, calonnya sendiri, dan saya harap sejarah tercipta menjadi wakil rakyat seorang wanita pertama menang di Kempas pada 12 Mac ini,” katanya kepada Malaysiapost.

Namun, Napsiah, 42, bakal berhadapan saingan sengit tujuh penjuru di Kempas yang turut ditandingi anak kepada bekas penyandang Datuk Osman Sapian yang mewakili parti Pejuang.

Ditanya mengenai perjalanan kempennya, Napsiah menjelaskan, perjalanan kempennya berjalan dengan lancar dan telah menerima pelbagai luahan rakyat berikutan terdapat isu yang masih gagal ditangani kerajaan sebelum ini.

“Kita mendapat sambutan yang baik di ‘ground’, pelbagai isu sebenarnya yang masih menghantui rakyat di Kempas.

“Saya mendengar pelbagai keluhan rakyat dan berjanji akan membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan, tapi kena pastikan lah supaya saya mesti menang di Kempas,” katanya.

Napsiah yang merupakan juru perunding kewangan menegaskan, lima aspek utama menjadi keutamaannya demi membantu pembangunan rakyat di Kempas.

“Untuk kempen ‘Kempas Sejahtera’ ini, terdapat lima teras iaitu wanita, kanak-kanak, anak muda, ekonomi dan perumahan yang akan saya perjuangkan,” katanya.

Selain Napsiah, kerusi DUN Kempas ditandingi Timbalan Ketua Parti Pejuang Johor, Nornekman Osman; Setiausaha Bersatu Bahagian Pulai, Nur Faizal Abdullah dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Ramlee Bohani.

Selain itu, seramai tiga calon Bebas turut bertanding melibatkan bekas Ketua Kampung Kempas, Mohd Hambali Munadi, 61; guru matematik, Mohd Azwan Abd Rahman, 40, dan kontraktor, Mohd Suhimi A Rahman, 62. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here