YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-89 kepada seluruh warga angkatan Tentera Darat, termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota angkatan Tentera Darat dalam menjaga kedaulatan negara dan pengorbanan tanpa mengira masa serta penat lelah membantu rakyat termasuk ketika beberapa negeri dilanda bencana banjir buruk, baru-baru ini.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira dan anggota Tentera Darat yang telah terkorban semasa bertugas dan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga supaya roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan seluruh warga dan bekas anggota Tentera Darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.
“Semoga angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

