POLIS menjalankan siasatan susulan video tular seorang pemimpin parti politik yang mempertikaikan tindakan polis tidak membenarkan satu program ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di Yong Peng baru-baru ini dilanjutkan masa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata dalam rakaman video itu, penceramah berkenaan meminta polis melanjutkan tempoh masa ceramah ketika berkempen, namun tidak dibenarkan.
“Kemudian penceramah tersebut telah mengeluarkan ungkapan ‘Bila kita jadi kerajaan balik, korang tahulah nanti’ yang disebut dalam bahasa Cina.
“Siasatan awal mendapati, ceramah berkenaan diadakan pada malam 26 Februari lalu di bilik gerakan sebuah parti politik di Yong Peng, Batu Pahat bermula jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 10 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bagaimanapun ceramah berkenaan mempunyai permit polis dan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikesan ketika pemantauan dilakukan.
Beliau berkata, susulan daripada penularan video berkenaan, polis menerima laporan daripada orang awam dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Polis menyeru semua parti politik bertanding supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pihak yang bertanding juga perlu mematuhi arahan pegawai penguasa yang bertugas bagi sama-sama membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.
Media semalam, melaporkan tindakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok mempertikaikan tindakan polis tidak membenarkan satu program ceramah kempen PRN Johor, di Yong Peng dilanjutkan dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Seputeh yang juga bekas Menteri Industri Utama itu turut dikatakan mengugut Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan tidak dibenarkan program yang sepatutnya tamat jam 10 malam dilanjutkan hingga ke 10.30 malam. – Malaysiapost

