Banjir: Lori bantuan makanan bawa Adun Ajil terbalik

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim dan 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu berdepan detik cemas apabila lori dinaiki mereka terbalik di hadapan pusat Veterinar Maju Ternak di Kampung Lebak, Kuala Berang, Terengganu petang tadi.

Dalam kejadian itu, Maliaman dalam misi menghantar bantuan bekalan makanan kepada penduduk terjejas banjir di sekitar Hulu Berang menggunakan kenderaan APM.

Maliaman menerusi hantaran di Facebook miliknya, meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada penyelamat yang datang menghulurkan bantuan.

“Allah masih panjangkan usia kami. Saya bersama 13 anggota JPAM dalam misi menghantar keperluan makanan kepada mangsa di sekitar Hulu Berang,” katanya.

Namun, katanya, nasib tidak menyebelahi mereka kerana kenderaan logistik JPAM dibawa arus yang cukup deras berhampiran Sungai Kg Lebak.

“Keperluan makanan, pakaian semua dibawa arus yang cukup deras dan kenderaan logistik juga tidak dapat diselamatkan.

“Saya mohon maaf kerana gagal menghantar keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi.

“Jutaan terima kasih kepada penyelamat yang datang memberi bantuan kepada team kami,” katanya.

Sementara itu, video berdurasi 46 saat yang dikongsikan Facebook TeganuKita, memaparkan lori yang dinaiki Maliaman terbalik, dan arus air dilihat deras dan dalam.

Beliau bagaimanapun diselamatkan bot penyelamat
penyelamat sejurus kejadian sebelum dibawa ke kawasan selamat.

Menurut TeganuKita, kejadian itu berlaku ketika pihak mereka dalam misi menghantar bantuan makanan untuk mangsa banjir di Kampung Bukit Biah.

“Bagaimanapun, kemahiran dan pengalaman menyelamat yang tinggi anggota APM berjaya mengawal situasi itu. Alhamdulillah YB dan semua selamat,” tulisnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here