Jaja Kluster Mahkamah tanpa henti, musuh BN sudah kehabisan ‘peluru’ – Zahid

0
3

ISTILAH kluster mahkamah dijaja tanpa henti oleh musuh-musuh Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rakyat khususnya Bangsa Johor seharusnya berhati-hati dengan kelicikan musuh BN itu yang giat bermain persepsi.

“Sesungguhnya kluster mahkamah yang mereka ulang-ulang adalah naratif untuk memperdaya undi rakyat sekali lagi.

“Yakinilah PRN Johor sama seperti PRN Melaka tidak pernah berkait tentang apa-apa kes mahkamah,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, hakikatnya musuh BN yang menciptakan tindakan mahkamah terhadap pimpinan parti sejurus mereka berkuasa.

Beliau berkata, sebenarnya pelabelan kluster mahkamah yang mereka sendiri rencanakan dan kemudian dipropagandakan disebabkan ‘kehabisan peluru’.

Katanya, merekalah yang mengenakan tindakan mahkamah terhadap seteru politik selepas sahaja menang PRU-14 serta menjaja pemimpin BN sebagai kluster mahkamah.

“Keadaan itu sama seperti perbuatan kerajaan PH menjual aset negara dan merosakkan ekonomi selepas PRU-14.

“Sehingga mendorong kepada kadar keberhutangan Malaysia hari ini mencecah RM1 trilion,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu juga menyebabkan ramai anggota masyarakat hilang sumber rezeki dan pendapatan apabila PH menduduki Putrajaya.

“Dan rakyat pula mereka jajakan sebagai pemalas serta diingatkan tidak boleh berharapkan bantuan kerajaan.

“Keadaan itu juga sama seperti kerajaan PN (Perikatan Nasional) melaksanakan PKP separuh masak dan menyalahgunakan Ordinan Darurat.

“Menyebabkan rakyat terpaksa hidup menderita sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih

“Rakyat seluruh negara tidak pernah leka dan lupa dengan apa yang telah mereka berikan sepanjang tempoh pemerintahan,” katanya.

Beliau berkata, mujur kerajaan PN akhirnya akur jua disebabkan desakan bersama pimpinan BN, NGO dan rakyat marhain.

“Dan hari ini mereka berusaha menidakkan permintaan rakyat untuk pengeluaran terakhir wang KWSP atas muslihat tertentu.

“Justeru, orang Johor tidak boleh tersasar daripada misi murni kita ini demi masa depan Johor kembali gemilang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here