“SAYA hendak tunggu (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi saman Tun Dr Mahathir Mohamad kalau dia berani,” kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan itu, berkata sekiranya Ahmad Zahid bercadang untuk ke mahkamah, beliau juga bersedia menjadi saksi kepada Dr Mahathir.
“Zahid Hamidi lupa saya yang bawa beliau berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawat jawatan Perdana Menteri kali kedua.
“Selepas berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada pagi tersebut di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya; beliau juga ‘tweet’ secara gembira mengesahkan perjumpaan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas Khairuddin, selepas perjumpaan dengan Dr Mahathir, Ahmad Zahid terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengerjakan umrah.
“Namun, ketika berada di Tanah Suci Makkah; Zahid Hamidi buat satu kenyataan palsu menipu kononnya Tun Dr Mahathir menyuruh semua Ahli-Ahli Parlimen Umno tinggalkan parti dan masuk Bersatu ketika itu.
“Di tanah suci pun Zahid sanggup menipu, inilah jati diri Zahid yang hanya bertopengkan agama untuk tujuan agenda politik peribadinya,” katanya.
Beliau berkata, jati diri Ahmad Zahid itu adalah sama seperti bekas majikannya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak.
“Bagaimana kita tidak boleh percaya pada Anwar Ibrahim dan Najib Razak begitulah juga kita jangan sama sekali percaya pada Zahid Hamidi,” katanya.
Baru-baru ini, Zahid yang juga Presiden Umno menuntut Dr Mahathir memohon maaf atas tuduhan beliau meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu bagi menghentikan siasatan kes rasuah terhadap dirinya.
Sambil menyifatkan dakwaan itu suatu pembohongan, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan itu kepada Dr Mahathir.
“Letter of demand (LOD) itu untuk dia (Dr Mahathir) memohon maaf atas pembohongannya
“Saya tidak pernah sekali pun meminta kepada Dr Mahathir supaya siasatan kes rasuah dihentikan,” katanya. – Malaysiapost

