LAPAN jalan utama di dKuala Berang, Hulu Terengganu ditutup kepada semua kenderaan berat dan ringan selepas ditenggelami air sedalam 0.5 hingga 0.75 meter.
Jalan Kuala Berang ke Kampung Dusun (Kampung Kuala Por) dan Jalan Latitude ke Kampung Bukit Ara pula ditutup kerana runtuh.
iMenurut Ketua Polis Daerah Kuala Berang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, lapan jalan utama yang ditutup adalah Kuala Berang ke Pengkalan Ajal, Kampung Baru Lubok Periuk-Felda Mengkawang, Felcra Betong-Menerong (Kampung Gunung), Kampung Gaung-Teri’s (Kampung Kuala Ping-Tengkawang Lubok), Nibong-Paloh Nyior.
“Termasuk Kampung Gaung-Teris (Kepah), Jalan Felcra Pasir Pelata-Kampung Pengkalan Ajal dan simpang Pengkalan Ajal ke jambatan Pengkalan Ajal,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Berikutan itu, Mohd Adli menasihatkan orang ramai dan pengguna jalan raya untuk berhati-hati dan elak daripada merentas air banjir kerana berisiko mengundang kejadian lain seperti hanyut.
Sementara itu, beliau berkata, susulan hujan lebat berterusan, mangsa banjir yang dipindahkan di daerah ini terus meningkat.
“Sehingga kini, kita merekodkan mangsa yang terjejas banjir di daerah ini seramai 875 orang dan ada antara mereka terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air sejak pagi semalam.
“Sehingga kini sebanyak 16 PPS dibuka di daerah ini dan kita menjangkakan mangsa yang terjehas banjir bertambah berikutan keadaan hujan yang masih berterusan sesekali lebat sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata, berikutan situasi banjir yang semakin buruk, orang ramai terutama penduduk yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air diminta sentiasa waspada dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa. – Malaysiapost

