Peluang BN cerah pada PRU15 jika menang di Johor – Najib

0
1

BARISAN Nasional (BN) mempunyai peluang cerah meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya berjaya menawan kembali Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini.

Keyakinan itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkata, PRN Johor penting kerana ia akan menjadi titik perubahan kepada BN dan memberi petunjuk sama ada gabungan itu mampu memenangi PRU15 dengan bertanding secara bersendirian.

“Saya anggap Johor sebagai satu titik perubahan dalam senario landskap politik tanah air sebab sejarah Umno adalah di Johor, namun pemimpin utama Bersatu juga orang Johor. Kalau Johor kembali kepada pangkuan kita dengan mendapat sokongan padu melalui majoriti meyakinkan, maknanya ia memberi kemenangan besar buat BN.

“Ia mampu memberi isyarat jelas kemungkinan besar dari sudut perspektif negara, BN mempunyai peluang cerah untuk PRU akan datang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Ismail Mohamad dan calon DUN Bukit Pasir, Ir Mohd Fadzli Mohd Salleh, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, berkata PRN Johor mampu memberi maksud dalam landskap lebih luas yang bukan sekadar berkisar kepada kemenangan, namun soal mengembalikan semula maruah BN.

Najib berkata, adalah penting bagi BN untuk bukan sahaja membentuk kerajaan negeri di Johor, namun berupaya memperoleh mandat melalui majoriti untuk memastikan pentadbirannya kukuh.

Sementara itu, Najib menyifatkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai pencapaian yang membanggakan dalam aspek ekonomi ketika mentadbir negara sebagai Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan, selain ketika menjadi Menteri Besar Johor suatu ketika dulu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here