‘Mind Setting’ jahat PH punca BN kalah PRU14

0
2

UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa kempen ‘Mind Setting’ dan sentimen buruk oleh Pakatan Harapan (PH) selama 18 bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendedahkan perkara itu, berkata kempen dengan memainkan sentimen memburukkan Umno dan BN itu telah meracuni fikiran rakyat sehingga terpedaya.

“Kempen ‘Mind Setting’ dan sentimen buruk selama 18 bulan oleh Pakatan Harapan itulah yang menyebabkan rakyat terpedaya dengan strategi untuk menumbangkan Umno dan BN pada PRU14 tahun 2018 dahulu.

“Sedangkan semua itu adalah untuk memperdayakan minda rakyat supaya mempercayai segala apa yang mereka perkatakan demi untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang telah melakukan segalanya untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera BN di Pontian, hari ini.

Mahdzir berkata, janji menggunung PH juga menyebabkan rakyat termakan gula-gula manis sehingga segala sistem dan amalan baik untuk rakyat dirosakkan atas nama ‘Rejim Baharu’.

“Atas nama Rejim Baharu juga, PH yang kemudiannya memerintah negara selama 22 bulan telah membatalkan pelbagai projek pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat dan negara.

“Lebih buruk lagi, situasi ekonomi negara dan pelaburan semakin menjunam kesan daripada dasar-dasar PH yang bertentangan dengan asas ekonomi.

“Kita dapat melihat situasi jelas dalam kalangan rakyat berdiam diri dan tidak menyanggah apabila kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.

“Itu adalah petanda bahawa rakyat sememangnya bersetuju bahawa kerajaan PH tidak layak mentadbir negara kerana mereka telah merosakkan sistem dalam negara ini yang dibina oleh BN,” katanya.

Justeru, Mahdzir menegaskan, rakyat Johor diingatkan agar tidak terpedaya sekali lagi dengan segala dakyah PH dalam setiap kempen pada PRN Johor yang bermula hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here