SITUASI Banjir Kelantan makin buruk apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 2,044 orang sehingga jam 4 petang ini, berbanding 881 orang pagi tadi.
Menurut laporan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir membabitkan 662 lelaki dewasa, 685 wanita dewasa, 323 kanak-kanak lelaki, 333 kanak-kanak perempuan dan 41 bayi.
“Semua mangsa daripada 622 keluarga itu ditempatkan di 30 PPS di empat daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.
“Mangsa di Pasir Mas bertambah mendadak selepas beberapa kampung berdekatan Sungai Golok dinaiki air menyebabkan 904 penduduk berpindah ke tujuh PPS.
“Di Jeli pula, seramai 422 orang dipindahkan di lima PPS, diikuti Kuala Krai dengan 409 orang di sembilan PPS dan Tanah Merah membabitkan 307 mangsa di sembilan PPS,” menurut portal berkenaan.
Sementara itu, menurut portal eBanjir Kelantan, terdapat tiga jalan ditutup di Tanah Merah.
“Jalan tersebut adalah Jalan Panglima Bayu- Rantau Panjang, Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah yang ditutup kepada semua kenderaan dan Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh yang ditutup kepada kenderaan ringan,” katanya.
Manakala, laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, memaklumkan enam sungai utama di Kelantan melebihi paras bahaya.
“Sungai tersebut ialah Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 35.45 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.11 m), Sungai Lanas di Air Lanas Jeli (29.75 m)dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.11 m).
“Selain itu, Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (22.03 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.41 m) dan satu sungai melebihi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 15.96 m.
“Tiga sungai pula melebihi paras waspada iaitu Sungai Lebir di Kampung Karangan, Kuala Krai (31.60 m), Sungai Nal di Kuala Krai (23.87 m) dan Sungai Pergau di Jeli (71.41 m),” katanya. – Malaysiapost

