SEBELAS rakyat Malaysia yang berada di Ukraine, sudah meninggalkan Kyiv serta dalam perjalanan untuk keluar dari negara itu susulan konflik yang melanda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau tidak boleh mendedahkan lokasi semua individu terbabit atas faktor keselamatan.
“Kita ada 23 rakyat di Ukraine, sama ada bekerja di kedutaan, belajar dan sebagainya. Seramai 12 daripada mereka sudah meninggalkan Ukraine, dan bakinya sedang dalam perjalanan (untuk keluar dari negara itu).
“Saya tidak mahu sebut dari mana ke mana kerana kita tidak tahu apa berlaku di sana.
“Justeru, saya tidak mahu sebut dari mana ke mana demi keselamatan mereka,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, seramai 137 askar Ukraine terbunuh sejak pencerobohan Rusia bermula awal Khamis, manakala 316 askar lagi cedera.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menerusi video di Facebook berkata negara lain gentar untuk menyokong penyertaan Ukraine ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Awal hari ini, media antarabangsa melaporkan Russia menyerang pangkalan tentera di ibu kota Ukraine, Kyiv tetapi serangan itu berjaya dipatahkan, kata tentera Ukraine dalam catatan Facebook awal Sabtu.
Dalam kejadian berasingan, agensi Interfax Ukraine berkata, tentera Russia cuba menawan salah satu stesen penjanaan elektrik di bandar itu.
Beberapa jam sebelum itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy telah meramalkan tentera Rusia akan melancarkan serangan semalaman. – Malaysiapost

