AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak menepis tuduhan Lim Guang Eng mendakwa beliau mempolitikkan pendidikan dalam lawatannya di sebuah sekolah di Johor, baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri itu, berkata tuduhan tersebut sebagai tidak berasas sebaliknya mendakwa Setiausaha Agung DAP itu yang sering mempolitikkan pendidikan termasuk ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Semalam, Guan Eng bidas saya sebab saya melawat ke sebuah sekolah di Johor hari itu.
“Dia kata saya tak patut mempolitikkan pendidikan. Bahawa pendidikan dan politik mesti dipisahkan, katanya.
“Sebelum PRU14, Guan Eng tabur janji merata-rata dalam ceramah -ceramahnya. Tengok betapa konfiden mukanya semasa dia kencingkan pengundi-pengundinya,” katanya menerusi Facebook.
Najib berkata, dalam ceramah politiknya, Guan Eng berjanji bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memberikan RM1,000 seorang kepada setiap pelajar kolej dan universiti setiap tahun.
“Dia janji kepada pengundi Cina bahawa peruntukan untuk kolej-kolej mereka termasuk Kolej Universiti TAR tidak akan dipotong. Akan dijaga baik.
“Selepas menang PRU14, lain cerita pulak. Takdepun janji RM1,000 setiap pelajar pernah ditepati.
“Malah, dia potong peruntukan tahunan bagi Kolej Universiti TAR yang ada 28,000 pelajar ini dari RM35 juta setahun menjadi RM1 juta sahaja untuk tahun depan dengan alasan universiti kolej ini ada pengaruh MCA.Pengaruh MCA apa?,” katanya.
Sedangkan, Najib berkata, ramai penyokong PH termasuk menterinya seperti Teresa Kok dan Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan graduan kolej univeristi berkenaan.
“Kalau niat ialah untuk terang-terang mungkir janji, tak payah nak bagi alasan ada pengaruh MCA.
“Cakap sahaja bahawa manifesto itu bukan kitab suci atau PH sengaja nak kencingkan pengundi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut membidas PH kerana menggunakan pendidikan sebagai modal politik yang akhirnya memudaratkan anak muda negara.
“Dalam bab menipu, PH langsung tak rasis. Melayu, dia tipu. India, dia tipu. Cina pun dia tipu.
“Isu pendidikan, jangan berdendam atau dipolitikkan. Akhirnya, anak-anak muda kita yang dimudaratkan,” katanya. – Malaysiapost

