TENTERA Russia menyerang pangkalan tentera di ibu kota Ukraine, Kyiv tetapi serangan itu berjaya dipatahkan, kata tentera Ukraine dalam catatan Facebook awal Sabtu.
Dalam kejadian berasingan, agensi Interfax Ukraine berkata, tentera Russia cuba menawan salah satu stesen penjanaan elektrik di bandar itu.
Beberapa jam sebelum itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy telah meramalkan tentera Rusia akan melancarkan serangan semalaman.
“Penjenayah tentera Rusia menyerang salah satu unit tentera di Kiev di Victory Avenue. Serangan itu berjaya dilawan balik,” kata angkatan tentera Ukraine dalam siaran berbahasa Inggeris di Facebook.
Namun, ia tidak memberikan butiran dan laporan itu tidak dapat disahkan serta-merta, lapor CNN.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, seramai 137 askar Ukraine terbunuh sejak pencerobohan Rusia bermula awal Khamis, manakala 316 askar lagi cedera.
Zelensky, menerusi video di Facebook berkata negara lain gentar untuk menyokong penyertaan Ukraine ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Paparan video tersebut menunjukkan Zelensky sedikit muram dan kelihatan sedih.
“Siapakah yang bersedia untuk menjamin penyertaan Ukraine ke NATO? Sejujurnya, semua orang takut.
“Saya bertanya kepada semua rakan kongsi sama ada mereka bersama kami. Mereka bersama kami, tetapi mereka tidak bersedia untuk membawa kami bersekutu dengan mereka,” katanya dalam video itu.
Zelensky berkata, berdasarkan perbualannya dengan pemimpin asing, beliau mendapati Ukraine mendapat sokongan.
“Saya berterima kasih kepada setiap negara yang membantu kami secara konkrit, bukan hanya dengan kata-kata,” ujarnya.
Bagaimanapun, pemimpin itu berkata Ukraine ditinggalkan untuk mempertahan negara bersendirian. – Malaysiapost

