PRN Johor bermula, penamaan calon jam 9 pagi

0
2
grafik

HARI ini Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula secara rasmi, dengan proses penamaan calon berlangsung di 56 pusat penamaan yang akan dibuka pada jam 9 pagi.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Sebaik saja urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan mereka yang layak bertanding pada PRN berkenaan.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti adalah tidak dibenarkan di pusat penamaan calon.

Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pakatan Harapan (PH) bersama rakan strategiknya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM); dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengesahkan bertanding pada PRN Johor kali ini.

Mengikut senarai yang diumumkan Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad, BN bertanding di semua kerusi dengan komposisi Umno 37 kerusi, MCA 15 kerusi dan MIC empat kerusi.

Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor ini pula mempertaruhkan 41 muka baharu dan mengekalkan 15 calon yang pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini.

Calon-calon PN terdiri daripada 33 wakil Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula mempertaruhkan 42 calon bagi PRN Johor, dengan 54 peratus daripada mereka terdiri daripada calon berusia di bawah 50 tahun, termasuk calon termuda berumur 26 tahun.

Menerusi pengumuman yang dibuat, seramai 223 calon dari parti berkenaan dijangka mengemukakan borang pencalonan, hari ini.

Antara kerusi panas yang bakal menjadi tumpuan termasuklah DUN Bukit Kepong yang bakal menyaksikan bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal (PN), yang akan bertembung dengan bekas ADUN Bukit Serampang Ismail Mohamed daripada BN, selain calon MUDA, Nurafiqah M Zulkifli dan Md Taib Md Suhut (Pejuang).

Manakala di DUN Benut pula, Hasni yang juga Menteri Besar Johor dijanga bakal ditentang oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Isa Ab Hamid (PN), Ahli Majlis Pimpinan PKR Johor Haniff @ Ghazali Hosman dan Iskandar Noor Ibrahim (Pejuang).

Sementara di DUN Kempas, Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis Maharan bakal bertembung dengan Nornekman Osman daripada Pejuang, yang juga anak sulung kepada Adun Kempas dan bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Sehingga Khamis lalu, sejumlah 894 borang penamaan calon sudah terjual.

Berbeza dengan PRN sebelum ini, SPR membenarkan penganjuran ceramah, syarahan serta kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

Bagaimanapun, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti serta bilik gerakan parti yang rasmi, dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang dan penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan dan kempen hanya selama dua jam serta tidak melebihi jam 10 malam, manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah pula, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah, manakala aktiviti mengedarkan risalah perlu dilakukan di luar pagar.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac depan.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada PRN Johor.

Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 22,531 orang merupakan pengundi awal membabitkan 10,955 anggota tentera dan pasangan.

Manakala 11,576 pula anggota polis dan 376 pengundi tidak hadir luar negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here