Umno penyelamat, bukan punca ketidakstabilan politik – Reezal Merican

0
2

UMNO bukan punca ketidakstabilan politik negara, sebaliknya menjadi penyelamat ketika Malaysia dan rakyat menghadapi pelbagai krisis berpunca daripada pandemik Covid-19, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menurutnya, ia terbukti apabila kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) tumbang lalu Umno muncul dan kemudian menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat ketika politik negara dalam keadaan kemelut yang kritikal.

Beliau mendakwa, PH yang menjadi kerajaan sebelum itu gagal mengambil langkah sesuai bagi mengatasi permasalahan yang melanda dan Umno muncul sebagai penstabil.

“Ada Menteri Besar datang sini (Johor) menyatakan Umno penyebab hilangnya kestabilan sesebuah kerajaan. Saya nak maklumkan bila runtuh kerajaan PH dahulu, itu dibuat oleh mereka sendiri.

“Bila sebahagian keluar (PH), yang menjadi penstabil adalah Umno dan tampil ke depan apabila dalam keadaan situasi Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Masai di Pasir Gudang, hari ini.

Menurutnya, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil ke depan dan menteri yang diberi tanggungjawab jaga kesihatan dan vaksinasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin juga membantu.

“Malah Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut membantu mendapatkan sumbangan vaksinasi dari Arab Saudi, semua itu (usaha) menteri Umno,” katanya.

Reezal Merican berkata, semua kementerian penting berada di bawah teraju menteri mewakili Umno dan rakyat akan melihat serta menilai prestasi mereka.

“Perkara ini dilihat dan disedari rakyat apabila walaupun bukan kerajaan UMNO, tetapi pemimpin UMNO adalah penstabil dalam kerajaan. Apabila Ismail Sabri mengetuai kerajaan, Perdana Menteri berjaya mendapatkan pemimpin pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan pentadbiran kerajaan dalam tempoh pandemik.

“Beliau berjaya menghasilkan senario yang mana Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng akur dan akhirnya bajet berjalan dengan lancar. Kerana apa? Kerana Perdana Menteri mempunyai keupayaan untuk bawa kestabilan. Beliau Perdana Menteri dari mana? Dari Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here