Najib sindir Guan Eng sebagai “boss”

0
2

“NAK tanya, saya report (melapor) kepada boss saya Menteri Kewangan Guan Eng tak?,” tulis Datuk Seri Najib Razak di Facebooknya, hari ini.

Najib berkata demikian sebagai sindiran sinis kepada laporan sebuah portal tempatan mendakwa nama beliau juga tersenarai dalam barisan Kabinet baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Laman web yang lapor saya antara 19 ahli parlimen Umno yang sokong Anwar jadi PM juga senaraikan saya sebagai menteri jaga ekonomi.

“Individu yang pernah difitnah ada ijazah juga dilantik menteri air, tanah dan sumber asli,” katanya dalam hantaran sama.

Najib turut memaparkan tangkapan layar, di mana portal berkenaan menyenaraikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) dan Datuk Mahfuz Omar sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

Selain itu, portal berkenaan juga menyenaraikan 19 Ahli Parlimen Umno yang didakwa menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Anwar dalam sidang media semalam, mengumumkan beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut memaklumkan sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, namun ditangguhkan selepas baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Susulan kenyataan Anwar, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimen Umno-BN yang mahu menyokong Presiden PKR tersebut. -Malaysiapost