PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) yang kembali dibuka hari ini, menerima kes Covid-19 pertama petang tadi.
Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datin Paduka Dr Rohana Johan, berkata kes Covid-19 pertama diterima PKRC berkenaan adalah sekitar jam 4.50 petang tadi.

Beliau yang juga Komander Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah, berkata pembukaan pusat berkenaan adalah secara berperingkat.
“Untuk makluman, PKRC Zon Wilayah Tengah di Maeps telah menerima kes Covid-19 pertama sekitar 4.50 petang tadi.
“PKRC ZWT dibuka secara berperingkat bermula dengan 100 katil dan akan ditambah ke 850 katil sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan, pembukaan semula PKRC Maeps bermula hari ini bukan disebabkan katil di hospital tidak mencukupi, tetapi bagi melancarkan perkhidmatan dan rawatan bukan Covid-19.
Menurutnya, ia bertujuan sebagai langkah ‘preemptive’ dan memberi perhatian kes bukan Covid-19 terutamanya kes-kes elektif. – Malaysiapost

