Amanah sokong PKR di Larkin – Khalid Samad

0
2

PARTI Amanah Negara (Amanah) akan memberi sokongan kepada calon Pilihan Raya Negeri (Johor) daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan pengagihan kerusi yang telah dipersetujui sebelum ini.

Menurut Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad, pada awalnya Amanah, PKR dan DAP telah mengagihkan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di antara komponen parti-parti PH. 

Beliau berkata, Amanah dan PKR masing-masing diberikan 20 kerusi,manakala DAP 16 kerusi DUN.

“Dalam usaha mencapai serta melebarkan kesatuan pembangkang untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor, kami bersetuju setiap parti boleh berunding dengan parti-parti pembangkang lain mengenai kerusi-kerusi yang ditugaskan kepada kami.

“Hasil rundingan bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amanah telah menyerahkan empat dari 20 kerusinya kepada Muda dan DAP telah menyerahkan dua dari 16 kerusinya.

“Malangnya rundingan PKR dan Muda telah tidak berjaya mencapai kata sepakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau dimaklumkan, oleh kerana gagal mencapai kata sepakat, maka akan ada pertindihan antara PKR dan Muda di kerusi tertentu. 

“Kami mengharapkan mereka akan terus berunding untuk mencari jalan serta formula terbaik hingga ke saat akhir.

“Amat malang seandainya berlaku juga pertindihan kerusi ini kerana PH telah membentuk satu kerjasama dengan Muda sejak awal. Situasi ini hanya akan menguntungkan BN dan PN di kerusi berkenaan,” katanya.

Khalid berkata, namun demikian Amanah terpaksa membuat pendirian untuk menghadapi kemungkinan itu, kerana bagi Amanah PKR adalah rakan gabungan. 

“Oleh itu di mana berlakunya pertindihan antara PKR dan Muda di kerusi yang telah diamanahkan kepada PKR, Amanah akan menyokong calon PKR.

“Pada masa sama, di kerusi yang telah Amanah serahkan pada Muda, calon Muda hendaklah dianggap mewakili Amanah dan semua rakan gabungan PH, termasuk PKR, hendaklah menyokong calon Muda,” tegasnya.

Beliau berharap jika pertindihan tidak dapat dielak di kerusi-kerusi tertentu, maka biarlah pertindihan dan persaingan antara parti-parti pembangkang dihadkan kepada kerusi-kerusi tersebut sahaja.

“Sambil semangat kerjasama antara pembangkang kekal dipertahankan di kerusi-kerusi selainnya, demi mendukung matlamat yang sama untuk menafikan kemenangan kepada Umno-BN.

“Serta menghalang kembalinya kepimpinan yang mendukungi kluster mahkamah serta perompak-pencuri-kleptokrat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here