PAS yakin calon parti itu yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini mampu meraih sokongan pengundi Umno yang disifatkan sebagai ‘mesra’ Pas.
Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata beberapa faktor telah dikenal pasti mampu mempengaruhi sokongan sekali gus memberi kejayaan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya itu.
“Kita lihat, undi kita bergantung kepada mereka yang pertamanya ialah (pengundi) Umno yang mesra kita, kedua, Umno yang protes terhadap pimpinan dia dan (ketiga) mereka yang tidak lagi mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana (merasakan) ditipu dalam pilihan raya lalu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila di Marang, Terengganu, hari ini.
Abdul Hadi berkata, pembahagian kerusi bagi calon-calon PN dalam PRN Johor adalah telus, malah beliau menyifatkan momentum PRN Johor akan lebih berpihak kepada PN.
“Saya melihat secara rambang antaranya ialah peningkatan undi ketika pilihan raya di Sabah. PN berjaya di Sabah di mana BN yang sebelum ini bertanding beberapa puluh kerusi tinggal beberapa belas sahaja.
“PN dapat kemenangan besar dengan meraih sokongan pengundi ‘mesra’ PN. Di Melaka pula, Umno dapat undi yang asal sahaja dan tidak mendapat undi baharu.
“Jumlah undi kita (PN) meningkat dalam PRN di Melaka dan Sarawak. Jadi, kita harap momentum di Johor pun sama. Kita usaha seberapa banyak untuk menang, ” katanya. – Malaysiapost

