Bangunan LHDN Melaka retak susulan gempa di Indonesia

0
2

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Melaka terpaksa ditutup sementara selepas berlaku keretakan bangunan dipercayai susulan gegaran gempa bumi kuat di utara Sumatera, Indonesia, pagi tadi.

Keretakan itu dikesan di tingkat lapan bangunan terbabit oleh pasukan bomba yang membuat pemeriksaan selepas gegaran berlaku.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli mengesahkan kejadian berkenaan.

“Pasukan bomba telah ke lokasi pada pukul 10.20 pagi tadi dan pemeriksaan di Bangunan LHDN itu menemukan kesan retakan dipercayai baharu berlaku.

“Pemeriksaan itu turut dilakukan bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman,” katanya sperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kes tersebut diserahkan kepada JKR untuk menjalankan pemeriksaan lanjut berhubung keselamatan struktur bangunan selain akan mengeluarkan arahan selanjutnya selepas penilaian struktur bangunan dibuat.

Sementara itu, LDHN dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya turut memaklumkan mengenai penutupan cawangan berkenaan.

“Dimaklumkan bahawa Cawangan Melaka akan ditutup mulai jam 12.15 tengah hari pada hari ini 25 Februari 2022.

“Dalam tempoh ini, semua janji temu pelanggan yang telah diluluskan melalui sistem e-Janji Temu untuk hadir ke kaunter berkenaan adalah dibatalkan dan pelanggan perlu membuat permohonan janji temu yang baharu setelah kaunter dibuka semula.

“Para pelanggan disyorkan untuk membuat semakan senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara terlebih dahulu sebelum hadir ke mana-mana premis bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” menurut makluman itu.

Terdahulu LHDN turut memaklumkan susulan gegaran daripada gempa bumi di Indonesia, perkhidmatan kaunter dan perkhidmatan telefon di beberapa pejabat HASiL di Semenanjung Malaysia akan mengalami gangguan hari ini. – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here