DAP berharap isu pertembungan kerusi antara Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PKR dapat diselesaikan menerusi meja rundingan.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata Pakatan Harapan (PH) tidak mahu berdepan sebarang pertembungan calon di mana-mana kerusi, membabitkan sama ada parti komponen atau rakan sekutu.
“Ini hanya mengenai satu kerusi. Kita lihat macam mana nak capai satu kata sepakat. Saya masih optimis kalau boleh cuba capai kata sepakat.
“Kita tak nak jadi macam PN (Perikatan Nasional) dan BN (Barisan Nasional),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengumuman calon DAP bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Johor, di Senai, hari ini.
Isu pertembungan kerusi itu berlaku apabila Muda mengumumkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang turut akan ditandingi calon PKR.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini mengumumkan Ketua Penerangannya, Rasid Abu Bakar, untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Jika keadaan ini berlaku, Larkin akan menjadi antara kerusi panas yang menyaksikan sekurang-kurangnya saingan empat penjuru, termasuk Bendahari Cabang PKR Pasir Gudang, Dr Zamil Najwah Arbain serta calon dari PN dan BN.
Sementara itu, ditanya corak penyelesaian terbaik bagi isu berkenaan, Guan Eng berkata, ia wajar diputuskan secara bersama antara Muda dan PKR.
“Saya tak mahu bagi formulalah sebab ini antara kedua-dua pihak tapi itu harapan kita.
“Kita lihat Syed Saddiq tak bertanding, kita harap dia boleh bertandinglah tapi terpulang pada kepemimpinan Muda.
“Sebab seorang pemimpin harus memimpin usaha untuk bukan saja menang pilihan raya dan hati rakyat, tetapi juga memimpin agenda yang dibawa. Justeru, kita mesti memimpin dari depan, bukan dari belakang,” katanya. – Malaysiapost

