DUA anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) maut, manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 142.8 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1, Maran, hari ini.
Kemalangan kira-kira jam 2.30 petang itu mengakibatkan pemandu kereta, Muhammad Nur Izzuddin Mohd Razali, 21, dan penumpang hadapan Siti Fairuz Adnan, 28 meninggal dunia di lokasi kejadian.
Rakan setugas mereka, Nurulain Zulfardliyana Mat Daut, 34, yang juga penumpang belakang, mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kesemua mangsa menaiki kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berada di lorong perlahan.
“Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang belakang mengalami kecederaan parah,” katanya.
Beliau berkata mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Sementara itu, APM dalam satu hantaran di Facebook turut berkongsi berita duka itu.
“Dimaklumkan bahawa terdapat tiga anggota APM Pahang telah terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya di Exit Jalan Chenor hari ini.
“Dua daripada tiga anggota tersebut kembali ke rahmatullah iaitu PBT Muhamad Nur Izzuddin Mohd Razali dan LT. M Siti Fairuz Adnan. Seorang daripada mereka cedera parah dan masih dirawat iaitu L/KPL Nurulain Zufardliyana Mat Daud.
“Seluruh warga APM menzahirkan salam takziah buat keluarga arwah dan mendoakan agar rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama golongan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya. – Malaysiapost

