OPERASI pemadaman kebakaran sebuah kilang petrokimia di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor masih dijalankan selepas dilaporkan petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Ibrahim Omar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.16 petang.
Susulan itu katanya, seramai 26 anggota dari BBP Larkin dan BBP Johor Jaya dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran tidak melibatkan kematian. Sehingga kini operasi memadam kebakaran masih dilakukan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pihaknya dimaklumkan pihak bomba bahawa kerja-kerja menyejukkan tangki sedang dijalankan.
“Saya dimaklumkan oleh pihak bomba bahawa keadaan adalah terkawal. Setakat maklumat diterima, tiada kemalangan jiwa berlaku. Hanya dua kakitangan kilang tersebut melecur di tangan.
“Saya dimaklumkan bahawa bahan yang terlibat dalam kebakaran itu ialah cyclohexane dan campuran mertodaine yang terkandung dalam Tangki A, Tangki B dan Tangki C. Tangki A dan Tangki B yang terbakar,” katanya.
Beliau berharap pihak bomba dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut.
Terdahulu beberapa video mengenai kebakaran kilang terbabit tular di media sosial dengan memaparkan api dan asap menjulang tinggi ke langit seperti berlaku letupan. – Malaysiapost

