SUAMI kepada bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini menafikan dakwaan berkaitan rasuah yang dibuat Tim Leissner terhadapnya.
Datuk Dr Tawfiq Ayman turut melahirkan rasa terkejut susulan keterangan bekas pengerusi bank Goldman Sachs itu di hadapan Mahkamah Daerah Timur New York semalam, lapor Malaysiakini.
“Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat terhadap saya oleh Tim Leissner yang dilaporkan media.
“Saya tidak mengenali Tim Leissner atau Roger Ng dan tidak pernah bertemu (mereka), mahupun berkomunikasi dengan salah seorang daripada mereka.
“Saya ingin menyatakan sepanjang hidup saya, saya tidak pernah menerima sebarang rasuah daripada sesiapa,” katanya.
Tawfiq juga berkata, memandangkan perbicaraan sedang berjalan di New York, beliau dinasihatkan tidak membuat kenyataan lanjut kerana ia mungkin boleh menyebabkan subjudis.
“Kami akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan yang dibuat terhadap saya,” katanya.
Kenyataan Tawfiq itu dikeluarkan peguamnya daripada Tetuan Jagjit Ariff & Co, yang disahkan rakan kongsi firma guaman itu Wan Muhd Ariff Ameer.
Leissner ialah saksi utama dalam perbicaraan mahkamah berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat yang sedang dijalankan terhadap seorang lagi bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng.
Semalam, Leissner, dalam keterangannya menyebut “rasuah yang membabitkan bekas suami gabenor Bank Negara” namun dia tidak boleh mengesahkan secara bebas sama ada suapan telah dibayar atau tidak.
Menurut transkrip mahkamah perbicaraan Roger Ng, Leissner menyebut perkara itu apabila ditanya pendakwa raya mengenai urusannya dengan projek usaha sama PetroSaudi-1MDB.
Pada November tahun lalu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan Singapura memulangkan semula dana ke Malaysia sejumlah AS$15.4 juta, berkaitan 1MDB melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq. – Malaysiapost

