DATUK Seri Najib Razak hari ini mengarahkan peguamnya untuk memulakan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ia susulan hantaran bergambar dimuatnaik Ketua Penerangan PKR itu di media sosial miliknya dengan mendakwa bekas Perdana Menteri tersebut mencuri RM2.6 bilion untuk menampung gaya hidup mewah.
“Ini yang tidak akan diakui oleh mana-mana pemimpin dari geng sebelah sana walaupun ia bukti mahkamah sebab mereka mahu teruskan propaganda menipu bahawa Najib kononnya curi RM2.6b untuk beli cincin dan beg tangan.
“Mereka tidak akan mengaku bahawa saya telah didakwa di bawah AMLA dan bukan mencuri mahupun merompak (sebagaimana pemimpin mereka dalam kes terowong) dan dana tersebut telah dipulangkan kepada penghantarm” tulis Najib di Facebook.
Najib berkata beliau didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima dana yang dikatakan RM2.6 bilion itu dan dengan tujuh pertuduhan memulangkan dana tersebut kepada penghantar empat bulan selepas dimasukkan ke dalam akaun atas namanya.
“Jadi, bagaimana pula saya simpan RM2.6b untuk “tampung gaya hidup” saya?,” soalnya. – Malaysiapost

