PENYANYI Dafi mengakui kurang minat dengan profesion politik biarpun bapanya sendiri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
Dafi atau nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri, 34, berkata secara peribadi dia kagum dengan kesungguhan bapanya yang tidak pernah kenal erti penat bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.
“Saya tengok ayah sibuk setiap hari. Saya cakap pada diri sendiri ‘sebab itulah saya tak sertai politik’. Saya tak tahu sama ada boleh jadi sekuat beliau atau tidak.
“Pada usia ayah sekarang, nak hadap kerja sesibuk itu dan percubaan untuk memuaskan hati seramai orang yang boleh.
“Secara peribadi, sebagai anak saya berasa sangat kagum sebab saya sendiri tengok depan mata,” katanya dalam temubual bersama sebuah portal tempatan.
Jelas Dafi, walaupun kadangkala mendapat kecaman netizen, dia yakin bapanya sentiasa mencuba memberikan sehabis baik untuk memuaskan hati semua pihak.
Pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu juga berkongsi dia juga menjadi mangsa kritikan masyarakat yang tidak berpuas hati dengan bapanya, namun bagi peserta Akademi Fantasia musim ke-5 itu adalah perkara biasa.
“Ada (kecaman) dan kerap jugalah dapat. Tapi saya mengambil pendekatan bahawa kita tak duduk di tempat orang. Saya juga tak tahu apa yang mereka (orang ramai) lalui.
“Pun begitu, kalau boleh, saya berharap mereka menggunakan cara yang lebih baik daripada menghentam dan mengecam.
“Tapi, kalau saya berada di tempat mereka, saya sendiri tak tahu macam mana kelakuan saya. Jadi, sungguhpun selalu jadi mangsa kecaman, saya tak boleh nak menghakimi kelakuan orang bagaimana,” ujarnya.
Ogos tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Sebelum memegang jawatan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Bera itu bertugas sebagai Menteri Kanan Pertahanan yang bertindak sebagai individu utama yang menyalurkan maklumat dan berkaitan dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Malaysiapost

