BERKUAT kuasa esok, Sabah membenarkan semula kehadiran 50 peratus jemaah di masjid dan surau untuk solat Jumaat serta solat lima waktu berjemaah.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kebenaran itu hanya untuk individu lengkap vaksinasi, termasuk imam dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.
Katanya, jumlah itu mengambil kira penjarakan fizikal satu meter dengan setiap masjid dan surau diminta membuat penandaan jarak antara jemaah bagi memudahkan pematuhan.
“Jemaah juga dikehendaki membawa sejadah sendiri, selain wajib memakai pelitup muka sepanjang masa dan mendaftar kehadiran sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara bertulis.
“Hanya jemaah yang masih dalam pemantauan, golongan berisiko tinggi, mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan alahan serta kanak-kanak bawah 12 tahun tanpa ditemani ibu bapa tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau.
“Sekiranya ada jemaah disyaki atau disahkan positif Covid-19, masjid atau surau tersebut perlu melakukan proses sanitasi penuh dan jemaah lain yang hadir pada hari berkenaan perlu melakukan saringan mengikut prosedur Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya menurut laporan Berita Harian.
Pada 11 Februari lalu, kerajaan negeri mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu mengehadkan semula kehadiran di masjid dan surau kepada maksimum 150 orang atau satu pertiga ruang lantai tertutup berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu. – Malaysiapost

