Kempen awal masih guna politik kaum dan agama, ditunggang semahunya

0
2

Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

BANYAK isu yang boleh diangkat sebagai bahan kempen dalam PRN Johor 12 Mac ini – kenaikan harga barang, kos hidup, pengangguran, peluang pekerjaan, SOP dua darjat, kemiskinan, pendidikan, dan rasuah.

Walaupun banyak isu, saya bosan dengan kempen awal PRN ini kerana masih dengan pendekatan dan strategi lama – politik kaum dan politik agama. Kedua-duanya ditunggang semahunya.

Pemimpin pecahkan masyarakat dengan dua sentimen ini dan selepas itu berjanji dalam kempen masing-masing untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu. Teruk hipokrit politik sebegini.

Parti pembangkang mengkritik hebat kerajaan, tetapi mesejnya tidak meyakinkan. Bagaimana boleh meyakinkan jika sesama pembangkang pun tidak sepakat. Menghairankan lagi, walaupun peluang untuk menang tipis, masih berebut untuk bertanding banyak kerusi.

Jika kempen BN pula, berjanji untuk menyelesaikan masalah rakyat. Bagi meyakinkan rakyat, maka berkempenlah dengan data separuh masak: RMK-12 memacu negara ke depan, ekonomi pulih, dan KDNK dijangka akan meningkat naik tahun ini.

Saya tidak tahu penerimaan rakyat kepada kempen sebegini. Yang saya tahu ialah kos hidup meningkat, rakyat susah, miskin dan tertekan. Yang saya tahu ialah barisan parti pembangkang tidak bersatu, dan barisan Kabinet pula tidak kompeten dan lembab.

Saya juga sedih melihat SOP kempen kita, bukan memajukan demokrasi tetapi memundurkan demokrasi. Hendak maju bagaimana jika untuk kempen semasa PRN pun masih perlu memohon permit polis?

Tidak cukupkah sekadar memberitahu pihak polis tentang tarikh dan tempat kempen? Ini sudah zaman ICT, dan syarat untuk berkempen kita bertolak belakang, bukan ke depan.

Saya selalu bertanya. Mengapa kematangan politik kita tidak berubah? Mengapa takut untuk berubah? Semoga pengundi Johor memilih untuk membawa perubahan pada politik negara.

Penulis ialah penganalisis politik
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here