Tan Sri, Muda tiada pengalaman, tapi ada idealisme ubah Malaysia

0
1

SYED Saddiq Abdul Rahman tidak bersetuju dengan kritikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang diasaskannya.

Menurut Syed Saddiq, Muhyiddin menyatakan MUDA terlalu muda, ahli yang sedikit serta tiada halu tuju, namun beliau mempunyai pandangan yang berbeza.

“Untuk mendaftar MUDA, kami turun naik mahkamah hampir dua tahun, saya rasa Tan Sri (Muhyiddin) tahu kerana Tan Sri Perdana Menteri pada ketika itu.

“Tetapi Alhamdulillah kita berjaya dapat kemenangan di mahkamah dan kini MUDA ada lebih 75,000 ahli.

“Ya saya akui, MUDA bukanlah seperti parti lain dalam kerajaan ada (dana) juta-juta, pejabat mewah, buat majlis besar-besaran, kita kurang pengalaman, underdog… tetapi kita ada idealisme, ada sukarelawan bekerja pagi dan malam,” katanya menerusi video dimuatnaik di Facebooknya.

Semalam Muhyiddin dilaporkan berkata MUDA dilihat terlalu ‘muda’ dalam kancah politik negara dan belum lagi ada tanda perjuangan yang boleh diukur oleh rakyat.

Menurutnya, penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor juga dilihat bukanlah cabaran kepada PN.

“MUDA terlalu muda… Syed Saddiq itu macam anak saya. Dulu dia dalam Armada Bersatu. Tetapi tak apa itu hak dia, dalam sistem demokrasi, dia nak bentuk MUDA ke tua, itu hak dia.

“Tetapi yang pasti dia (Muda) tiada ahli yang ramai, sedikit sahaja. Cawangan dan bahagian pun tak tahu dekat mana,” katanya.

Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata MUDA berada dalam kancah politik negara untuk mengubah Malaysia.

Maka sebab itu katanya, tidak boleh ada tembok yang memisahkan MUDA dengan rakyat kerana tanpa dorongan dan bantuan rakyat, mustahil MUDA boleh berjaya.

“Tan Sri menang kalah PRN ini, MUDA akan kekal di sini, kami mahu membina negara berbilang kaum, sederhana dan membangun.

Kita akan berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan membangunkan Malaysia sebagai negara yang maju dan bermaruah,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun berkata, di sebalik kritikan Muhyiddin, rasa hormat beliau terhadap Ahli Parlimen Pagoh tersebut tidak akan berkurang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here