PRN Sabah: Peluang seimbang Warisan Plus, GRS bentuk kerajaan

0
3

[ANALISIS] TANPA perhimpunan besar-besaran dengan kehadiran ribuan penyokong seperti kebiasaan, menjadikan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 kali ini agak kurang meriah.

Walaupun perhimpunan kecil dengan kehadiran penyokong yang dihadkan masih dibenarkan, ia sukar dijadikan ukuran untuk menilai sejauh mana sokongan atau penerimaan rakyat di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap calon atau parti bertanding.

Itu antara kesan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 dan kluster PRN Sabah yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang kempen yang bermula 12 September lalu.

Kempen secara bersemuka berkurangan, namun menariknya pemasangan bendera dan poster lebih rancak berbanding situasi Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Bendera pelbagai parti berderetan rapat di sepanjang laluan utama, berwarna-warni berikutan banyak parti bertanding berbanding hanya bendera Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menonjol pada PRU lalu.

Warisan turut menggunakan pendekatan memasang poster gergasi memaparkan wajah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan mesej ringkasnya di papan pemidang di kawasan strategik seluruh negeri.

Begitu juga parti lain, poster besar dipasang pada papan lapis dan dipacak di tepi-tepi jalan selain `bunting’ dan sepanduk serta poster kertas berbalut plastik memaparkan wajah calon, turut menghiasi banyak kawasan.

Pendekatan cara baharu menggunakan media sosial seperti Facebook untuk menyebar bahan kempen dan kata-kata propaganda termasuk rakaman video bagi menarik sokongan pengundi turut dimanfaatkan secara meluas.

Malah, perhimpunan kecil dianjurkan parti politik boleh menarik ratusan hingga ribuan audien menerusi penggunaan Facebook Live, aplikasi siaran langsung tanpa had untuk menyampaikan mesej kepada pengundi.

Aplikasi WhatsApp, Twitter dan tidak ketinggalan panggilan telefon turut dimanfaat sepenuhnya pekerja parti untuk mendekati pengundi dan meminta mereka memilih calon parti masing-masing, Sabtu ini.

Ringkasnya, teknologi digital menjadi pilihan penting jentera parti dan calon, namun sifat teknologi itu yang mudah digunakan untuk menyampaikan propaganda, selain pantas menyebar maklumat juga boleh membawa kesan buruk jika tersilap langkah.

Apa yang terjadi kepada ucapan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga calon Warisan di DUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi adalah antara contoh bagaimana reputasi calon dan parti begitu mudah tercalar hanya dengan penyebaran klip video berdurasi seminit.

Ucapan beliau mempersenda anggota keselamatan ketika memerangi pengganas Sulu di Kampung Tanduo dan Zon Labian, Lahad Datu pada Mac 2013 dengan mengatakan mereka berperang dengan ayam dan anjing, menerima pelbagai kecaman termasuk dari pasukan keselamatan negara.

Sudah tentu isu itu memberi kesan kepada sokongan pengundi anggota keselamatan yang mengundi awal.

Ia memaksa Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tampil meminta maaf berhubung isu itu selain Mohamaddin sendiri, menggambarkan Warisan Plus takut isu berkenaan berlarutan dan terbawa-bawa hingga ke hari pengundian.

Rumusan awal menyaksikan Warisan Plus selaku pemerintah atau gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kini dikenali Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berada di kedudukan seimbang.

Begitu juga Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), tiga parti ini berada dalam kelompok sama dan boleh dikatakan seimbang sesama mereka, namun sedikit ke belakang berbanding Warisan Plus dan GRS.

Bagi parti lain dan calon Bebas, tidak dinafikan ada calon tertentu memiliki ketokohan dan kepemimpinan yang disenangi rakyat serta berpotensi memenangi kerusi ditandingi, terutama penyandangnya, namun mereka lebih dilihat sebagai pemecah undi.

Pada PRN kali ini, beberapa penyandang kerusi DUN seperti Datuk Masiung Banah (Kuamut), Datuk Anita Baranting (Tandek), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau), Abdul Rahman Kongkawang (Labuk) dan Kenny Chua (Inanam) bertanding tiket Bebas.

Mereka adalah bekas pemimpin Warisan Plus yang menyatakan sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri, akhir Julai lalu.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, berpendapat tindakan penyandang calon dan ramai lagi calon `tiada nama’ lain pada PRN kali ini adalah kerana mereka berkeyakinan untuk menang dengan anggapan rakyat kecewa terhadap Warisan Plus dan GRS.

Namun, jelasnya persaingan sebenar lebih tertumpu kepada Warisan Plus dan GRS dengan salah satu daripadanya bakal membentuk kerajaan.

Katanya, bagi parti lain seperti PCS, hanya calon yang menonjol khususnya presiden parti  berpeluang menang di kerusi ditandingi walaupun ia meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN.

Dari segi kekuatan jentera parti, tentunya tiada yang dapat menandingi GRS kerana gabungan parti itu dibantu rakan pemimpin dari Semenanjung yang berkampung sejak sebelum hari penamaan calon.

Bantuan jentera dari negeri lain itulah yang kelihatan sibuk menjelajah ke seluruh Sabah bersama nama-nama besar seperti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan jemaah menteri kerajaan Pusat.

Warisan Plus, walaupun rakan parti itu di bawah Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR, DAP dan Amanah sedikit sebanyak turut dibantu pemimpin dari Pusat, namun sebahagian besar jenteranya orang tempatan.

Begitu juga PCS, LDP, Usno dan parti lain semuanya bergantung kepada jentera tempatan.

Menyentuh mengenai tawaran kepada rakyat Sabah, banyak perkara menarik cuba ditawarkan parti politik dengan ada antaranya menjanjikan hadiah perkahwinan jika menang pilihan raya.

Namun, secara umumnya manifesto setiap parti masih menekankan aspek berkaitan hak Sabah dalam Malaysia, masalah pendatang asing tanpa izin (PATI), isu pembangunan infrastruktur dan ekonomi serta peluang pekerjaan.

Terpulang kepada rakyat Sabah untuk memilih sama ada berdasarkan tawaran manifesto yang dibentangkan atau membuat penilaian dengan melihat parti mana lebih menonjol sepanjang kempen, ketrampilan pemimpin atau jasa mereka sebelum ini.

Walaupun agak sukar untuk menentukan sama ada Warisan Plus atau GRS yang memenangi PRN kali ini, ada yang berpendapat kawasan pantai timur Sabah kekal kubu kuat parti pemerintah.

Ini bermakna kerusi di kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah bakal menjadi penentu sama ada Warisan Plus atau GRS bakal membentuk kerajaan, atau kemungkinan kedua-duanya perlu bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan.

Yang pasti keputusan rasmi bakal diketahui pada malam Sabtu ini selepas proses pengiraan undi di semua 73 DUN selesai, sebelum proses pembentukan kerajaan baharu menerusi angkat sumpah Ketua Menteri di Istana Negeri mengambil tempat. – Malaysiapost