Anwar ada SD hampir 20 MP Umno, BN termasuk menteri?

0
3

Muhammad Afiq

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan memperoleh sokongan hampir 20 Ahli Parlimen Umno dan BN bagi membentuk kerajaan.

Menurut sumber dalaman PKR yang juga individu yang hampir dengan Anwar, ia termasuk sokongan daripada menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, beberapa orang menteri kerajaan PN mengatakan kesediaan untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kesembilan negara.

“Saya boleh katakan Anwar kini memiliki akuan bersumpah (SD) daripada hampir 20 Ahli Parlimen Umno, BN.

“Mereka menyokong Anwar kerana tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya boleh bagi gambaran bahawa usaha menarik wakil rakyat Umno, BN ini dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen Umno dari Perak,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, Presiden PKR itu yang juga Ketua Pembangkang mendakwa mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Beliau memaklumkan perkara itu dalam sidang media berkenaan di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur.

Pada sidang media itu Anwar mendakwa dia sudah memiliki sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan namun enggan mendedahkan jumlah anggota parlimen yang memihak kepadanya.

Susulan kenyataan Anwar, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata dia tidak boleh menghalang sekiranya Ahli Parlimen parti itu menyokong Presiden PKR itu.

Malah katanya, beliau mendapat maklumat bahawa ramai Ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu sumber berkata, beberapa orang menteri yang kini dalam kerajaan Muhyiddin juga turut menyokong Anwar.

“Menteri ini saya boleh beri bayangan dari Johor,” katanya lagi.

Ditanya mengenai senarai penuh berkenaan, dia mendakwa perkara itu hanya diberitahu selepas Anwar mengadap Agong.

“Cuma sekarang ini wakil rakyat Umno ini juga terikat dengan SD yang mereka tandatangani dengan Muhyiddin,” katanya lagi.- Malaysiapost