Ramasamy akui dihubungi Bukit Aman, sedia disiasat

0
3

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy mengesahkan beliau telah dihubungi pegawai polis daripada Bukit Aman berhubung siasatan terhadapnya berkaitan satu hantaran di Facebook yang didakwa berunsur provokasi.

“Seorang pegawai dari Bukit Aman menghubungi kakitangan saya berkenaan perkara ini.

“Saya bersedia untuk disiasat oleh polis, tetapi pada masa sama saya telah membuat laporan polis terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan melampaui batas dan keterlaluan terhadap saya dan rakan sekerja saya.

“Ini merujuk kepada isu berkaitan hak penjagaan ibu tunggal, Loh Siew Hong untuk bersatu semula dengan tiga anaknya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan polis memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial oleh Ramasamy.

Katanya, setakat ini enam laporan polis telah diterima susulan hantaran tersebut dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis.

“Polis mengesahkan telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran Facebook Prof Dr Ramasamy bertajuk ‘Penukaran agama secara unilateral di Perlis? perasaan situasi yang berulang lagi’.

“Hantaran bertarikh 13 Februari 2022 dikatakan bersifat provokatif dan mencetus rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral penculikan, manipulasi, paksaan dan ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak-anak Puan Loh Siew Hong,” katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga kanak-kanak diislamkan tanpa kebenaran, dikembalikan kepada ibu kandungnya dengan serta merta.

Tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here