EAIC tidak dapat tentusahkan ada kartel dalam PDRM

0
2

SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana yang didakwa oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pengerusinya, Sidek Hassan berkata, hasil siasatan bagaimanapun mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah.

Menurutnya, EAIC telah selesai menjalankan siasatan berhubung pendedahan yang dibuat Abdul Hamid pada 18 Mac 2021 dan 22 Mac 2021, yang hasil siasatan serta keputusannya telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Katanya, pendedahan itu mengenai wujudnya gerakan daripada sekumpulan pegawai PDRM yang ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka.

“Berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh EAIC tidak dapat menentusahkan kewujudan kartel dalam PDRM sebagaimana yang didakwa.

“Siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM yang terlibat dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan telah dijalankan oleh SPRM dan PDRM ke atas pegawai-pegawai tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun menurutnya, dakwaan bahawa pegawai-pegawai tersebut dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan.

“Keterangan yang diperoleh EAIC menunjukkan, mekanisme pelantikan/kenaikan pangkat/pertukaran yang diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti dan mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi dan dicampur tangan oleh pihak luar;

“KPN merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan pelantikan/kenaikan pangkat/pertukaran pegawai kanan PDRM kepada SPP perlu mendapat persetujuan daripada KPN.

“Kedudukan Abdul Hamid selaku KPN juga tidak dapat digugat kerana pelantikan KPN adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here