PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengesahkan akan bertanding satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata kerusi DUN Semerah itu adalah kawasan yang diyakini boleh dimenangi parti tersebut.
“Hari ini kita bincang panjang lebar dan kita sudah buat keputusan muktamad iaitu bertanding hanya di satu DUN sahaja.
“Kita akan bertanding di DUN Semerah dalam Parlimen Parit Sulong yang kita yakini boleh menang,” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.
Menurut Ibrahim, PUTRA bertanding satu DUN sebagai satu simbolik untuk meletakkan parti itu dalam radar politik negara menjelang PRU15.
Tambahnya lagi, PRN Melaka banyak memberi pengajaran kepada PUTRA berkaitan strategi berkempen dalam suasana SOP yang ketat.
“Pada PRN Melaka, dalam suasana SOP ketat, calon PUTRA rakyat tidak kenal, apatah lagi logo PUTRA. Jadi kali ini kita guna strategi yang betul tidak mengulanginya seperti di Melaka.
“Semalam dapat berita SOP ini dilonggarkan pada PRN Johor, boleh berceramah tak lebih 100 orang, tapi ia masih ketat seperti ceramah hanya di markas parti sahaja, tak boleh ceramah ikut suka hati kita. Jadi tentulah masih ada kekangan untuk kita berkempen.
“Ini berbeza dengan parti-parti memerintah, mereka ada agensi kerajaan, media kerajaan, mereka banyak duit, tapi kita parti yang kaya dan kuat dengan semangat,” katanya.
Bagaimanapun dalan sidang media itu, Ibrahim tidak mengumum calon PUTRA yang bakal bertanding di DUN Semerah. – Malaysiapost

