KERAJAAN menyeru semua komuniti maritim agar terus bekerjasama bagi menyokong secara aktif peralihan sektor perkapalan yang lebih hijau demi masa depan mampan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kelestarian sektor maritim yang mampan terutamanya dalam pasca pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
“Justeru itu, kita memerlukan perkongsian yang kukuh sebagai sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau SDG 17, untuk membolehkan semua pihak terlibat berkongsi dan saling bertukar maklumat tentang amalan terbaik serta mengakses sumber dan pengetahuan am,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Terdahulu, Ka Siong merasmikan ‘Malaysia Maritime Week 2022’ (MMW 2022) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi tadi.
“Tema tahun ini ‘New technologies for greener shipping’ atau teknologi baharu untuk industri perkapalan yang lebih lestari mencerminkan keperluan untuk menyokong transformasi sektor maritim kepada masa depan yang mampan.
“Penganjuran MMW 2022 kali ini turut mempamerkan inovasi maritim, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi baharu yang boleh membantu industri ke arah peralihan ini,” katanya.

Selaras MMW 2022 Ka Siong menjelaskan, kerajaan turut menghargai dan meraikan peranan dimainkan agensi awam dan swasta, pemilik kapal, agensi logistik dan pengangkutan maritim, operator pelabuhan dan semua pihak terlibat dalam sektor maritim di Malaysia.
“Pembangunan industri maritim ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya
Sementara itu, Ka Siong berkata, kerajaan berpuas hati prestasi ditunjukkan pelabuhan-pelabuhan Malaysia yang turut menyumbangkan kepada ekonomi negara.
Jelasnya, pencapaian luar biasa sektor maritim dan perkapalan di peringkat antarabangsa juga terus memacu pertumbuhan ekonomi yang baik buat Malaysia.
“Dalam ucapan, saya juga berkongsi kegembiraan apabila pelabuhan-pelabuhan Malaysia dan industri perkapalan telah menunjukkan sumbangan yang ketara dengan jumlah pengeluaran kontena yang besar di 2 pelabuhan Malaysia iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, yang masing-masing mencatatkan 13.64 juta TEU dan 11.2 juta TEU pada tahun 2021.
“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan, tambahan pula kedua-dua pelabuhan itu tersenarai dalam 15 pelabuhan teratas paling sibuk di dunia bagi pengendalian kontena,” katanya. -Malaysiapost

