AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan kesahihan berkaitan pemadaman surat pekeliling panduan bagi mengatasi masalah beg berat yang dikeluarkan pada September 2018.
“Isu beg berat. Apakah benar KPM telah memadamkan surat pekeliling panduan untuk mengatasi masalah beg sekolah berat yang pernah dikeluarkan pada 12 September 2018?
“Jika benar, mengapa?,” soalnya yang juga bekas Menteri Pendidikan.
Sabtu lalu, Pakar Pendidik, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menerusi Facebooknya mendakwa, surat berkaitan panduan menangani isu beg berat murid yang dikeluarkan pada September 2018 telah hilang dari laman web KPM.
Anuar berkata, perkara tersebut dimaklumkan rakan-rakannya, lantas memeriksa laman web KPM dan terkejut kerana panduan itu didapati sudah tiada.
“Saya cuba semak. Betul. Jumpa 404 sahaja,” katanya. – Malaysiapost

