JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka dua negeri iaitu Pahang dan Johor akan mengalami hujan berterusan kategori waspada berkuat kuasa 24 hingga 25 Februari ini.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 28 Februari 2022.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca buruk itu berdasarkan analisis model MetMalaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).
Analisis itu memaklumkan luruan angin timuran telah memasuki rantau negara sejak 21 Februari dan dijangka berterusan sepanjang tempoh ramalan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam tempoh 23 hingga 26 Februari 2022.
“Pada masa sama, cuaca lembap dengan hujan dan ribut petir juga dijangka di negeri-negeri pantai barat Semenanjung pada sebelah petang hingga awal malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – Malaysiapost

