MALAYSIA menghantar lima tan barangan keperluan asas ke Kabul, Afghanistan hari ini dalam misi bantuan kemanusiaan untuk negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata misi kemanusiaan itu melibatkan kerjasama antara kementeriannya dengan Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Fo Guang Shan Malaysia dan Golden Horse Digital Investment Bank.
“Bantuan kemanusiaan seberat 5 tan ini meliputi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung dan keperluan asas lain akan dihantar kepada rakyat dan kanak-kanak Afghanistan yang memerlukan.
“GPM akan mengedarkan bantuan tersebut dengan kerjasama Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan Afghanistan iaitu Ehsas Welfare & Social Service Organisation (EWSSO); Humanitarian Assistance Society (HAS), Afghan Welfare Society (AWS) dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK),” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, NGO-NGO Malaysia sentiasa aktif dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat baik di dalam atau luar negara.
“NGO seperti GPM, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muslim Care Malaysia (MCM), MERCY Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) telah menjalankan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan.
“Terkini adalah BLIA dan akan diikuti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk menghulurkan bantuan kepada Afghanistan,” katanya.
Beliau berkata, Pusat Penyelidikan Polisi Ekonomi (CEPR) Malaysia bersedia menghulurkan bantuan, terutamanya dalam penubuhan sistem perbankan dan kewangan Islam berdasarkan perundangan Syariah.
Katanya, pihak swasta, korporat dan institusi di Malaysia bersedia menawarkan kepakaran dan pengetahuan dalam membantu membina dan membangun semula Afghanistan.
“Antaranya dalam pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, perlombongan sumber mineral, telekomunikasi dan tenaga baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, misi bantuan kemanusiaan berkenaan menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia.
“Ia mempamerkan solidariti rakyat Malaysia dengan rakyat Afghanistan bertepatan dengan budaya prihatin masyarakat majmuk Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama berganding bahu bekerjasama membantu rakyat Afghanistan yang dilanda kesengsaraan,” katanya. – Malaysiapost
“Malaysia akan meneruskan usaha-usaha libat-urus membina (constructive engagement) di samping pembangunan modal insan kepada rakyat Afghanistan,” katanya. Malaysiapost

