KEKALAHAN Skuad negara tersingkir dari Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas tewas buat kali kedua di tangan Laos malam tadi, sesuatu yang sukar diterima.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kekalahan Malaysia semalam yang disifatkan sebagai ‘lauk’ kepada Laos sangat perit untuk ditelan.
“Jawapan yang paling mudah, ‘Bukan tahap kita yang merosot tetapi tahap mereka yang meningkat’.
“Menjadi lauk sukar diterima apatah lagi kalau dipanggil pekasam cicahan,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, skuad negara tersingkir dari Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas tewas buat kali kedua di tangan Laos dalam tempoh empat hari dan kali ini 2-0 dalam saingan di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja.
Kemenangan itu juga sekali gus membolehkan Laos layak ke separuh akhir.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Sabery berkata, kisah Amerika Syarikat dahulunya tidak begitu berminat dengan sukan bola sepak boleh dijadikan iktibar.
“Tetapi bila kalah di tangan Iran dalam piala dunia FIFA 1998 di Perancis, ia menjadi kejutan. Amat memalukan.
“Iran pula menganggap perlawanan itu adalah ibu kepada semua perlawanan. Kemenangan mengalahkan syaitan,” katanya.
Menurut Ahmad Shabery, sejak itu Amerika tidak mahu diaibkan lagi dengan mengambil langkah drastik memperkasa prestasi sukan bola sepak negaranya.
“Pelbagai akademi ditubuhkan, liga dalaman diperkasakan dan pelbagai kaedah diambil untuk membina budaya soccernya.
“Amerika kena keluar dari kepompong American Footballnya dan berusaha menawan hati dunia melalui soccer,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

